“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Friday, July 19, 2013

Kerana Seringgit

Assalamualaikum dan salam Ramadhan buat semua muslimin muslimat, moga kita semua berada dalam perlindungan Allah dalam bulan Ramadhan ini dan mendapat rahmat yang banyak seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Apa yang ingin saya sampaikan ini adalah kisah benar dari bekas seorang perompak bersenjata yang boleh kita jadikan pengajaran yang sangat berguna kepada kia semua. Insya Allah...

Ringgo, seorang budak kampung hidup bersama keluarga beliau yang serba miskin. Mereka tidak meminta untuk jadi begitu, tapi ketidakupayaan menjadikan mereka begitu. Hari-hari Ringgo dihina dan dicaci masyarakat dan kawan yang mempunyai sedikit kekayaan. 

Bila keluar dengan kawan atau pergi ke rumah kawan, pasti ibu bapa kawan beliau memberi amaran agar tengok-tongokkan Ringgo, takut-takut ada barang yang diambil. Bila melalui laluan rumah-rumah di kampung, beliau diejek oleh orang kampung. Bila ada kecurian di kampung, Ringgo lah yang akan dicari dulu. Ringgo jadi pening, dan berfikir sendiri. Kenapa jadi macam ni, apa salah aku? Hina sangatkah aku? Beliau selalu dituduh membuat kejahatan walaupun beliau tidak melakukannya.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Usia Ringgo juga semakin meningkat, tahap pemikiran Ringgo juga sudah semakin matang. Ringgo mula mengerti apa itu kehidupan. Rupanya dunia ini memerlukan kuasa, kuasa pula diperoleh hanya dengan duit. Beliau mengerti kenapa beliau dihina semasa kecilnya. Kesusahan keluarganya menyebabkan dia dihina, dikeji, difitnah dan sebagainya. Beliau mula memikirkan bagaimana untuk mendapatkan kuasa dan wang.

Tahap pendidikan yang rendah dan prestasi yang lemah membantutkan impian beliau untuk  menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Jika pun bekerja yang biasa, beliau tidak mungkin akan mempunya wang yang banyak dan berkuasa. Kisah semasa kecilnya membuatkan beliau mahukan semua itu.

Ringgo mula mengenali kawan yang tinggal di lorong-lorong hitam. Dendam beliau terhadap orang-orang kaya dan berada semakin memuncak bila teringatkan apa yang dilalui semasa kecilnya. Ringgoi mula mencuri. Tetapi dia memilih dalam mencuri. Modus operandinya tertumpu orang-orang kaya yang berlagak mulia di mata sendiri dan orang sekelililing. Ringgo mencuri di rumah urut, pusat hiburan, pusat judi, kedai nombor ekor dan lain-lain yang boleh kita klasifikasikan sebagai haram.

Kenapa? 

Bagi Ringgo, tidak salah mencuri di rumah pencuri. Bagi Ringgo, pusat judi, kedai nombor ekor juga mencuri duit orang, jadi tidak salah mencuri di rumah pencuri. Pernah beliau bertanya pada seorang wartawan, "jika saya mencuri dan kamu juga mencuri, siapa sebenarnya pencuri?" Wartawan tersebut tidak dapat menjawab dan hanya mampu terseyum sambil mengangguk.

Ringgo merasa bangga dengan kuasa dan wang yang dimiliki. Dia boleh menguasai tempat dan orang-orang yang lemah. Ringgo puas.

Setelah bertahun Ringgo mencuri, hati kecilnya datang berbisik. "Sampai bilakah aku harus membuat kerja seperti ini?"  Terdetik di hati kecilnya untuk berubah ke arah kebaikan dan berhenti merompak. Namun, bukan mudah untuk berhenti. Kawan-kawan menghasut. "Ringgo, malam ni last kita merompak. Kalau kau rasa seronok, kita teruskan. Kalau tak, kita berhenti". Kata Ameng kepada Ringgo. Ringgo bersetuju dengan cadangan kawan beliau. 

Pada malamnya Ringgo dan kawan-kawan membuat kerja merompak seperti biasa. Tapi lain pula yang terjadi. Pada malam tersebut, berlaku pergaduhan antara kumpulang Ringgo dan satu lagi kumpulan penjenayah. 2 kawan Ringgo terbunuh manakala Ringgo ditangkap oleh pihak polis. Rupanya, memang betul itulah jenayah terakhir yang beliau lakukan.

Semasa menjalani hukuman di penjara, Ringgo mula berubah. Beliau belajar solat dan puasa. Beliau kesal dengan apa yang dilakukan sehingga menyusahkan semua orang. Tapi bagi beliau, kesalahan tidak perlu diletakkan di atas bahu beliau. Kemuliaan si kaya yang menghina si miskin membuatkan beliau jadi begitu.

Kini, Ringgo tidak lagi membuat jenayah. Beliau telah insaf. Beliau memohon ampun kepada kedua ibu bapanya. Beliau juga mengingatkan masyarakat di luar sana agar jangan menghina orang susah dan miskin. 

Bagi beliau, orang susah sepertinya mesti dibantu oleh si kaya yang perasan mulia. Ringgo menasihati si kaya, "seringgit yang kamu beri pada orang susah, tidak sedikitpun harta kamu berkurangan malah akan bertambah". Tersentak juga saya dengan kata-katanya itu. Dalam Al-Quran juga ada disebutkan.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karuniaNya) lagi Maha Mengetahui.” (QS. Al Baqarah : 261). 

Ringgo menyambung "Sepatutnya orang kaya kena prihatin kepada orang susah, kena bantu orang susah, kena tanya macam mana sekolah mereka, makan minum cukup ke, pakaian ada ke, baru la hidup ni sempurna".

Sekali lagi saya tersentak dengan kata-katanya. Walaupun pedih, tetapi itulah hakikat sebenar. Kadang-kadang kita terlalu angkuh dengan jawatan, darjat, harta yang kita ada tanpa memikirkan orang lain yang kekurangan dan tidak ada keupayaan. Padahal jika kita bersedekah, sedikitpun harta kita tidak berkurangan. Jika kita bantu, Insya Allah, orang yang kita bantu akan berterima kasih dan berdoa kepada kita. Allah juga akan membantu kita ketika kita dalam kesusahan nanti.

Kita selalu menyalahkan orang yang berbuat jahat dengan cacian dan kejian, Tidak pernah kita berfikir kenapa mereka jadi macam tu. Rupanya kita juga sebahagian punca mereka jadi begitu. Bagi kita mudah untuk memberi kesimpulan kita sendiri, "banyak lagi kerja boleh buat, kenapa pilih mencuri?" Sedapnya lidah yang tidak bertulang mengungkap kata-kata disebabkan kita sudah selesa dengan apa yang kita ada. Jika tidak ada penghinaan, mana mungkin akan berlaku kejadian jenayah seperti ini. 

Ringgo juga pernah berkata, "macam mana saku nak dapatkan kekayaan yang cepat? Kalau aku mintak sedekah, berapa orang Malaysia boleh bagi? RM100, RM50; tak mungkin sama sekali. RM10? Mungkin iya, mungkin tidak. RM1 pasti. Adakah cukup untuk orang kaya tidak menghina aku?"

Astaghfirullahalazim...

Dalam kesempatan yang ada di bulan yang mulia ini, saya mengajak kawan-kawan yang membaca coretan yang memang betul-betul belaku ini agar berfikir sebelum kita mengangkat jari telunjuk kepada orang lain di atas apa yang mereka lakukan. Jadilah manusia dan orang Islam yang membantu dan bersedekah kepada yang memerlukan. 

Jika kita boleh menghabiskan beratus ringgit untuk sesuatu yang tidak berfaedah, apalah ruginya kita andai bersedekah dan membantu mereka. Saya tahu rakyat Malaysia pemurah, tapi biarlah berpada dalam kemurahan. Dalam keterbukaan ilmu dan teknologi masakini, alasan "biar RM1, asalkan ikhlas" tidak lagi boleh dijadikan budaya kita dalam membantu orang susah. Seboleh-bolehnya, sedikit yang boleh biarlah sekurang-kurang RM10 agar nilai yang diberikan itu boleh memberi keselesaan juga kepada mereka. Dan moga Allah juga menambahkan juga limpah nikmatnya kepada kita sepertimana janji DIA dalam firman di atas.

Jadikan lah apa yang berlaku kepada Ringgo sebagai sentapan kepada hati kita dan jadikan pengajaran berguna kepada kita semua. Ramadhan yang masih ada lagi ini boleh lah kita gunakan untuk bermuhasabah diri. Insya Allah dengan sedikit perkongsian ini, dapat mengubah diri kita menjadi lebih baik. 

Wassalam...


 

Monday, April 29, 2013

PRU 13 : Analisa Seorang Marhaen

Assalamualaikum wbr dan salam sejahtera buat semua pembaca blog saya.

Sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, saya rasa terpanggil untuk memberikan analisa saya terhadap sistem politik di Malaysia. Biarpun sudah lama memendam rasa untuk menukilkan sesuatu di ruangan maya ini, baru saat ini saya mampu menulis dek kekangan kerja dan hal-hal peribadi.

Alhamdulillah, sepanjang 28 tahun hidup di muka bumi ini, Malaysia sangat aman sekali. Sesekali sahaja berlaku pertelingkahan di kalangan mereka yang mahu dunia melihat Malaysia terumbang ambing dek pemerintahan yang kurang cekap. Tidak mengapa, saya tidak menyalahkan mereka 100% kerana tindakan mereka itu juga adalah ujian kepada kita semua, baik pemerintah, pembangkang ataupun rakyat biasa.

Sejak Malaysia MERDEKA pada tahun 1957 dan pilihanraya pertama pada tahun 1955, negara Malaysia tidak pernah lekang daripada kempen politik yang berpanjangan, samaada daripada parti yang sedang memerintah atau pihak lawan, di peringkat negeri atau pusat.

Tahun 2013 sekali lagi Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umumnya yang ke 13 untuk memilih kepimpinan bagi menerajui negara dan negeri ke mercu kejayaan di peringkat antarabangsa. Walaupun begitu, kempen politik telah bermula sejak PRU 12 lalu bagi kedua-dua pihak. Itulah demokrasi Malaysia. Setiap masa dihiasi dengan politik. Saya suka gelarkan negara Malaysia adalah negara politik. Manakan tidak, 24jam, 7 hari, 1 bulan, 1tahun kempen politik terus menghiasi ceruk kampung dan bandar, media-media massa dan juga laman sosial.

Saya hanyalah seorang marhaen yang hanya melihat kelibat parti-parti politik di dada-dada akhbar, televisyen dan laman sosial, tidak begitu ekstrem dan taksub terhadap parti walaupun sejujurnya saya adalah penyokong parti pemerintah sedia ada. Pandangan saya pada kali ini juga hanyalah bersandarkan pemerhatian secara kasar dan logik akal saya sebagai seorang yang tidak rapat dengan ahli politik dan pengetahuan yang sangat cetek tentang politik dan sejarahnya.

Melihat kepada kempen yang berterusan daripada parti-parti yang terdapat di Malaysia, saya merasakan parti-parti politik masih mengamalkan politik jumud dengan menggunakan isu-isu peribadi untuk mendapatkan sokongan. Bagi sesetengah parti, mereka menggunakan kelebihan yang ada sebagai pemerintah untuk mendapatkan sokongan, dan sebahagian daripada parti politik menggunakan isu-isu yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat untuk mengalih sokongan. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat bagi politik di abad ini dimana rakyat mempunyai akses yang luas untuk mendapatkan maklumat.

Politik di alaf baru ini menuntut parti dan juga pemimpin serta calon untuk lebih berkaliber dalam membawa isu-isu untuk rakyat secara amnya dan masyarakat setempat khasnya. Saya sangat kesian kepada rakyat Malaysia yang hanya menerima bulat-bulat apa yang disogokkan oleh pemimpin dan juga orang-orang mereka terutama di laman sosial tanpa menilai dan mengkaji kesahihan sesuatu. Jika betul tidak mengapalah, tetapi jika salah, ia telah menimbulkan suatu fitnah yang besar dan mengundang kepada dosa yang besar.

PRU 13 adalah PRU yang pada pendapat peribadi saya paling panas sejak PRU pertama diadakan walaupun pada ketika ini, belum ada berita keganasan yang melampau dari mana-mana pihak. Isu-isu diganggu semasa berceramah, berkempen dan sebagainya bukanlah sepanas PRU nnt. Panas yang dimaksudkan adalah kedua-dua pihak samada pemerintah sedia ada ataupun pembangkang tidak boleh merasa selesa dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing kerana pada PRU 12 pola sokongan rakyat telah berubah tanpa disangka. Beberapa nama besar dalam BN kalah di kawasan masing-masing kerana menganggap sudah selesa dan boleh menang di kawasan yang ditandingi. Jadi, untuk PRU kali ini, semua calon terpaksa mengerah keringat semaksimum mungkin bagi menghadapi lawan yang boleh mematikan langkah pemimpin tersebut walaupun "underdog".

PRU 13 adalah PRU untuk orang muda. Jadi segala-galanya perlu mengambil kira kehendak orang muda. Orang muda tidak seperti orang-orang lama yang mahu dilayan ekslusif. Pemimpin harus faham jiwa orang muda. Mendekati orang muda mestilah santai dan tidak formal. Mereka mahu pandangan mereka diterima, mereka mahu pemimpin yang boleh bersama-sama mereka di mana saja waima di kedai kopi sekalipun, berborak bersama dan bersukan bersama. Program-program untuk orang muda juga harus dipergiatkan samaada program kerohanian, sosial mahupun santai. Yang penting program tersebut tidak sama sekali menyalahi tuntutan syarak bagi orang Islam. Harus diingat, program kerohanian tetapi diisi dengan ceramah politik perlu dielakkan.

PRU 13 juga memperlihatkan semua parti politik samada BN, PAS, PKR, DAP, dan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak mengemukakan manisfesto masing-masing untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka adalah terbaik. Sebagai rakyat yang dilabelkan sudah matang berpolitik, mesti berfikiran jauh kehadapan, bukannya menerima bulat-bulat segala janjis manis yang dikemukakan oleh parti politik. Kerana pada akhirnya kita kuatir janji yang ditabur hanyalah umpan untuk PRU semata-mata, pelbagai alasan diberikan jika tidak mampu tunaikan.

Di suatu sudut, saya melihat beberapa kerat sahaja yang matang berpolitik. Yang lain bagi saya masih di takuk lama, membaca di laman sosial dan 'share' kepada orang lain. Matangkah begitu? Jika kita matang, seharusnya kita menilai betul atau tidak sesuatu isu yang dibangkitkan di laman sosial. Untuk menyalahkan rakyat semata-mata juga tidak boleh kerana ada pemimpin politik juga menggunakan kaedah lama untuk berkempen.

Saya berpandangan politik matang adalah politik yang menggunakan pemimpin atau calon untuk 'menjual' manifesto parti masing-masing ketika berkempen. Sebaik-baiknya juga calon tersebut mempunyai manisfesto tersendiri di kawasan yang ditandingi. Jika pemimpin tersebut hanya mengharapkan manifesto parti, ada kemungkinan apa yang terkandung dalam manisfesto berkenaan tidak sampai di kawasan yang ditandingi walaupun parti dapat membentuk kerajaan. Begitu juga apabila parti tidak dapat membentuk kerajaan, tetapi calon menang. Calon tersebut tidak dapat berbuat apa-apa kerana parti tidak membentuk kerajaan dan manisfesto parti hanya tinggal manisfesto. Berbanding jika calon tersebut mempunyai manifesto sendiri, jika parti kalah sekalipun dan calon menang, mereka dapat menyumbang kepada rakyat di kawasan masing-masing. Pemimpin rakyat tidak seharusnya berkhidmat ketika membentuk kerajaan sahaja. Pemimpin seharusnya bekerja untuk rakyat pada setiap masa walaupun parti kalah.

Sekian sahaja analisa saya terhadap PRU 13 yang akan menjelma 5 Mei ini. Buatlah pilihan yang bijak. Saya akan memberi pandangan saya lagi dalam siri kedua analisa PRU 13 berkenaan dengan manisfesto.

Wednesday, December 26, 2012

Kehidupan Adalah Persepsi

Assalamualaikum dan salam kerinduan buat semua pembaca... Sudah lama tidak bersua muka di dunia blog kerana tidak ada idea untuk dikongsi bersama. Hari ni Alhamdulillah, diberikan ruang masa dan peluang untuk sama-sama berkongsi sedikit pendapat yang saya rasa boleh kita fikir bersama.

"Kehidupan Adalah Persepsi". Kenapa saya memilih tajuk ini untuk dikongsi bersama? Apa yang dimaksudkan dengan persepsi? Persepsi adalah pandangan atau gambaran seseorang terhadap sesuatu perkara atau manusia lain. Ianya berlaku kepada semua orang yang hidup di muka bumi Allah ini, tidak kira ianya persepsi yang baik ataupun buruk.

Kenapa kehidupan adalah persepsi? Sebabnya mudah. Apa yang kita dengar, lihat, rasa, sentuh hidu semua melibatkan pandangan dan gambaran kita terhadap sesuatu. Walaupun kadang-kadang kita sudah menggunakan semua deria yang ada dalam diri kita, kita tetap menggunakan persepsi sebagai satu langkah untuk mentafsir apa sebenarnya yang berlaku.

Persepsi biasanya mengarahkan gambaran sesuatu itu kepada keburukan. Walaubagaimanapun, semuanya bergantung bagaimana kita menggunakan akal dan hati kita untuk membuat tafsiran tersebut. Tetapi kebanyakannya penafsiran ke arah keburukan.

Di Malaysia, rakyatnya tidak terlepas kepada kehidupan persepsi ini. Masuklah ke ceruk mana sekalipun, kita akan mendengar pelbagai gambaran dan pandangan terhadap sesuatu perkara walaupun kesahihannya belum pun disahkan. Kadang-kadang, kesahihan sesuatu perkara sentiasa dimanipulasi agar cerita itu lebih sedap didengar oleh orang lain, maka persepsi ini akan terus terbang dengan bebas dengan pelbagai cerita.

Banyak perkara yang jika diambil satu persatu sebagai contoh, menggambarkan kita sebenarnya hidup hanya untuk mati. Kenapa saya berkata demikian? Sebabnya orang kita suka copy paste sahaja apa yang diperkatakan oleh orang sebelumnya, tanpa mengkaji samaada betul atau tidak. Sebagai contoh, kita sentiasa mendengar orang cakap bahawa orang Kelantan suka makan manis. Bila sampai kepada generasi sekarang, mereka juga membuat persepsi sebegitu tanpa menyelidik dan melihat sendiri pemakanan orang Kelantan. Pandangan tanpa menyelidik begitu akan menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat di Malaysia sendiri kerana walaupun tinggal di satu negara, tetapi tidak memahami karektor sebenar masyarakat pelbagai kaum dan budaya. Walhal, jika diikutkan rakyat Kelantan juga makan makanan yang pedas seperti budu yang dicampurkan dengan cili dan limau nipis, kari dan pelbagai masakan pedas yang lain. Tinggal lagi dalam beberapa makanan tertentu, mereka sukakan kepada kemanisan di dalam masakan/makanan.

Sebagai contoh kedua, ada persepsi mengatakan orang negeri ini akan berkahwin hanya dengan orang negeri sendiri sahaja. Ini juga merupakan persepsi yang buruk yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat sesuatu negeri dengan negeri yang lain. Saya tidak pasti dari mana mereka mendapat berita yang melucukan ini. Saya tidak nafikan ada segelintir orang tua (ibu bapa) mahukan anak-anak mereka berkahwin dengan orang-orang yang dekat, namun tidak lah keseluruhan. Tidak berkmakna kerana seorang ibu bapa yang mahukan anak mereka berkahwin dengan orang-orang sekampung/senegeri, maka keseluruhan rakyat negeri itu dianggap begitu. Ni la persepi yang perlu diubah.

Untuk menyalahkan segelintir yang membuat persepsi lucu ini juga tidak boleh kerana mereka juga didedahkan dengan persepsi yang buruk sebelum mereka juga menyampaikan perkara yang sama (copy paste). Yang harus dipersalahkan adalah mereka-mereka yang ditolak lamaran mereka dengan kerana masalah jarak. Lalu diceritakan kepada orang laian bahawa orang negeri ini hanya mahu berkahwin dengan orang negeri dia sahaja.

Itu adalah 2 contoh yang kita boleh fikirkan bersama, samada ianya betul-betul berlaku atau tidak. Dan juga kita boleh menilai hal-hal lain yang dijadikan persepsi negatif supaya kita sama-sama berfikir bagaimana untuk mengubah menjadi sesuatu yang positif. Diharapkan entri ini dapat mengubah sedikit sebanyak persepsi buruk menjadi persepsi yang baik kerana persepsi juga akan memberikan impak yang besar dalam menjana ukhwah dan jalinan persabahatan di kalangan masyarakat.

Memang agak susah untuk mengubah, tetapi tanpa usaha berterusan, kita akan jadi seperti "Hidup Segan, Mati Tidak Mahu". Kehidupan di dunia ini biarlah kita hiasi dengan berfikir disamping beramal. Kita mampu mengubah jika kita mahu. Hidup bukan untuk mati, tetapi hidup untuk beramala dengan cara berfikir dan melaksanakan segala yang baik sebelum kita menyelusuri alam kubur. Janganlah kita hanya hidup untuk meniru orang lain dan mengambil bulat-bulat apa yang diperkatakan orang lain kerana orang lain juag belum tentu betul. Ditambah pulak dengan kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai fakta boleh diputar belit untuk mengaburi mata hati kita.

Wasalam...

Sunday, June 3, 2012

Presiden FAM WAJIB Letak Jawatan

Bismillahirrahmanirrahim... 

Mula-mula sy ingat nk tulis kat facebook je, tapi macam banyak benda yg perlu saya perkatakan, so saya tukar masuk ke blog. Masa buka facebook pun niat nk tulis isu lain, tapi bila buka fb, ada isu panas tentang bola sepak negara. Pendedahan demi pendedahan oleh Yg berbahagia Timb. Presiden FAM yang juga Presiden KAFA menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena degan sistem bola sepak negara. Mungkin bagi sesetengah org pendedahan oleh Tan Sri Anuar Musa disebabkan beliau kecewa dengan hukuman yang dikenakan, namun akal dan minda harus dibuka dgn lebih luas. Biarpun Tan Sri kecewa, namun itulah hikmahnya. Kita sbg pencinta bola sepak negara perlu berfikir dengan matang, kenapa bola sepak kita masih di takuk lama? Kita sentiasa mencoret cerita lama, dimana Malaysia pernah mengalahkan Korea Selatan, kita pernah ada penyerang berbisa Mokhtar Dahari. Bagi saya semua itu sudah menjadi sejarah yang harus dijadikan pemangkin kepada perubahan yg lebih baik. Jika dulu kita ada Allahyarham Mokhtar Dahari, sepatutnya kini kita sudah mempunyai ramai pemain yang lebih hebat daripada Alllahyarham.

Hukuman yang dikenakan terhadap Tan Sri Anuar Musa memberikan hikmah yang cukup besar dalam arena bola sepak tanah air. Bagi FAM, hukuman itu akan menutup dan mengunci mulut Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan, namun mereka silap percaturan. Fikiran FAM masih di takuk lama, merasakan Tan Sri tidak akan bertindak sepertimana pegawai-pegawai FAM yg dikenakan tindakan sebelum ini. Ingatlah wahai FAM, Tan Sri Anuar Musa adalah cucu cicit kelahiran Cik Siti Wan Kembang, dalam diri beliau ada semangat pahlawan sebagaimana kebanyakan anak-anak Kelantan. Darah yang mengalir dalam diri beliau adalah darah pejuang. Beliau orang politik yang tidak pernah mengaku kalah walaupun pernah tewas di gelanggang. 

Sejak beliau dikenakan hukuman, sudah banyak kecelaruan dalam kepimpinan FAM telah ditelanjangi, cumanya lagi masih FAM ni masih ada tangan yang mampu menutup kemaluan mereka. Betapa egonya mereka terutama Presiden dan Setiausaha Agungnya, yang sangat angkuh mempertahankan segala peraturan kuno yang dibuat mereka dahulu tanpa mahu menilai sedikit pun. Beginikah cara mereka mengurus sebuah persatuan sukan? Kuasa sultan dan ketenteraan dicampuradukkan untuk mengurus sebuah persatuan sukan?

Penulisan saya ini bukan untuk memperkecil atau mempertikaikan sultan, tapi jawatan Presiden FAM. Saya juga mengagumi kepimpinan Sultan Ahmad Shah yang terkenal dengan kemesraan, keramahan dan jiwa rakyat baginda. Baginda adalah antara Sultan yang amat disenangi rakyat jelata selain Sultan Johor dan Sultan Kelantan sekarang. Namun, penghormatan yang diberikan kepada baginda tidak seharusnya menghalang kita sebagai rakyat jelata untuk mempertikaikan kepimpinan baginda dalam persatuan terutama FAM. Baginda juga manusia biasa, tiada apa-apa keistimewaan selain takhta Di Raja. Baginda juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Jadi kenapa kita perlu sempitkan fikiran kita dengan menidakkan hak kita sebagai rakyat yang bebas bersuara di dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

FAM seharusnya ditadbir secara jujur oleh orang yang faham tentang bola sepak, bukannya orang yg ada kuasa ekslusif, eksekutif dan mempunyai pengaruh yang tidak boleh dipertikaikan. Apa guna ada ahli majlis, exco dan lain-lain anggota dalam persatuan tapi tidak boleh menyuarakan pendapat dan tidak boleh melakukan pembaharuan dalam organisasi dan sistem? Adilkah begitu? Adakah jawatan exco hanya untuk mengaburi mata FIFA dan pencinta bola sepak negara? Jika begitulah suratannya, kita hanya boleh memasang angan-angan mat jenin sahaja. Ucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia, Olimpik dan lain-lain kejuaraan. Sangat menghairankan apabila dalam sebuah persatuan yang mempunyai ahli exco, tapi yang boleh bersuara hanya Presiden dan Setiausaha Agung.

Bagi saya, sudah sampai masanya Presiden FAM meletakkan jawatan dan diberikan kepada orang baru yang boleh membawa bola sepak Malaysia ke persada dunia. Kalau bukan Tan Sri Anuar Musa sekalipun tidak mengapa, asalkan orang yang betul-betul mahu melihat kejayaan pasukan bola sepak negara, bukannya orang yang ada kepentingan diri. Bola sepak entah kemana, tapi mendapat anugerah dari FIFA. Pelikkan? hehehehe....

Banyak persoalan timbul mengenai hala tuju bola sepak Malaysia. Saya sentiasa tertanya-tanya pada diri sendiri mengenaik beberapa perkara :-

1. Kenapa Tuanku Presiden tidak pernah turun padang menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Sepak anjuran persatuan baginda samada Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA, Piala Malaysia, Piala FAM, Piala Presiden dan lain-lain? Baginda hanya menghantar tentera beliau yakni Setiausaha Agung. keh keh keh...

2. Kemana dana yang diberikan kerajaan dan penaja digunakan?

3. Sejak Tuanku Presiden memegang jawatan Presiden FAM, berapa kali Malaysia jadi juara dalam pertandingan peringkat Antarangbangsa/Asia/Asean?

4. Malaysia pernah menghantar pemain ke luar negara (seperti Akmal Rizal, Juzaili, dll). Ape yg kita dapat dari pelaburan ini?

5. Prasana dan dana mencukupi, tp perancangan masih di takuk lama. Tiada perubahan. Kenape ek?

6. Lain-lain akan dipersoalkan org yg terdekat dengan FAM dan ahli gabungan.,

Ayuh...bangkitlah wahai pencinta bola sepak Malaysia. Tidak berdosa pun kita jika mendesak seorang Presiden Persatuan untuk meletakkan jawatan. Sokongan peminat sudah ada di setiap stadium, jadi marilah kita sama-sama bersatu demi sebuah perubahan. Perubahan bermula dari rakyat dan pencinta bola sepak. Kemajuan sesebuah organisasi bermula dengan siapa dan bagaimana organisasi itu diurus.

Wasalam. Saya tidak mendesak Sultan meletak jawatan, tapi saya mendesak Presiden FAM meletak jawatan.

Tuesday, May 22, 2012

Peringkat Iman Manusia

IMAN TAQLID
Iman ikut-ikut atau Iman 'pak turut'.Orang yang beriman Taqlid,pegangan Islamnya tidak kuat dan prinsip Islamnya tidak kukuh.Dia tidak ada alasan yang kuat mengapa dia beriman.Dia ada dalil-dalil akal dan Al-Quran/as-Sunnah untuk membuktikan keyakinannya.Mengikut qaul yang lebih jelas,Iman Taqlid ini tidak sah.Segala amal ibadat orang yang beriman Taqlid adalah tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah Taala.

IMAN ILMU
Iman berdasarkan Ilmu.Iaitu seorang yang telah mempelajari tentang Allah,Malaikat2,Rasul2 dan Nabi,Kitab2,hari Qiamat dan lain-lain yang diwajibkan mengimaninya.Iman dan keyakinannya berasa dan kuat bertunjang pada akal.Iqtikadnya disertai dengan dalil-dalil yang kuat serta pegangan yang kukuh.Dia tidak mudah goyang atau terpengaruh dengan ideologi lain.
Tetapi orang yang beriman Ilmu,tidak takut akan Allah Taala dan mudah berbuat derhaka kepada-Nya.Mereka juga hanya mampu memperkatakan Islam,tetapi tidak mampu berbuat atau mengamalkannya.jadi,Iman Ilmu belum lagi dapat menyelamatkan seseorang itu dari neraka Allah.

IMAN 'AYYAN
Hasil daripada tarbiyah dan mujahadah yang bersungguh-sungguh orang yang beriman Ilmu akan meningkat kepada Iman 'Ayyan.Imannya bertempat di hati,bukan lagi di fikiran.Hati orang-orang yang beriman 'Ayyan sentiasa mengingati Allah, ibadahnya khusyu' dan ia sentiasa merasa kebesaran Allah Taala.Pabila disebut nama Allah, gementar hatinya.
Semua perintah Allah Taala dipatuhi dengan penuh rela dan kesungguhan.Ia terlalu sensitif dengan dosa serta sangat berakhlak dengan Allah dan manusia.Setiap ujian dihadapi dengan penuh sabar.Ia juga sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Taala.Orang yang berada di peringkat Iman 'Ayyan tidak lama dihisab di Akhirat dan ia mudah masuk Syurga.

IMAN HAQ
Seseorang yang mencapai Iman Haq,mata hatinya melihat Allah Taala.Ertinya setiap kali melihat kejadian dan kebesaran Allah Taala,hati dan fikirannya tertumpu kepada Allah.tersa takut dan hebat kepada Allah setiap masa.Hatinya tidak lekang mengingati Allah dan sentiasa karam serta khusyu' dalam kesyahduan cinta pada Rabb.
Hatinya tidak terpaut dengan dunia dan ia tidak dapat dilalaikan oleh nafsu mahupun Iblis laknatullah.Mereka yang beriman 'Ayyan digelar Muqarrobin oleh Allah Taala,yakni orang yang hampir dengan-Nya.

IMAN HAKIKAT
Inilah peringkat iman yang paling sempurna dan tertinggi yang dimiliki oleh Rasul2, Nabi2,khulafa' ar-Rasyideen serta wali-wali besar.Mereka akan ditempatkan oleh Allah Taala di dalam Syurga yang paling tinggi.Hidup mereka setiap masa asyik dangan ibadah.Ibadah mereka cukup hebat, solat sunat paling kurang 300 rakaat sehari semalam.Budi serta akhlak adalah yang terbaik dan paling terpuji.
Allah Taala akan menurunkan barakah di mana sahaja mereka berada.Mereka digelar golongan 'superscale' Akhirat.Hidup dalam Syurga yang maha Indah lagi maha lazat.Allah mengurniakan yang sedemikian itu sebagai membalas cinta dan pengorbanan hakiki yang cukup besar semata-mata kerana Allah !
Di manakah tahap keimanan kita ?Sama-samalah kita sentiasa memuhasabah diri serta mempertingkatkan keimanan kita dengan mengerjakan amalan kebaikan dengan bersungguh-sungguh,iltizam dan istiqomah.Berbahagialah dengan berita gembira dari Allah Taala dalam surah Ali Imran, ayat 139 :

Maksud :Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah(pula) kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi(darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.

"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."

Monday, February 20, 2012

Jangan Pernah Menyesal Jadi Wanita

Kaum feminin cakap “susah jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah pada kaum wanita.

Keluhan remaja perempuan A: “Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”

Keluhan isteri A: “Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.” 

Keluhan remaja perempuan B: “Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”

Keluhan isteri B: “Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”

Keluhan isteri C: “Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”

Keluhan isteri D: “Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”

Keluhan remaja perempuan C: “Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!” Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A: “Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!”

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A: “Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B: “Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!” 

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri B: “Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan !”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C: “Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan C: “Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak.  Itu saja asasnya!”

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri D: “Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”

Lelaki beriman bertanya: “Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?” Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata; “MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka. Allah, yang menciptakan kita, maka  sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia. Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.

Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan menegakkan agamamu,
nescaya syurga menanti…

Friday, January 20, 2012

"PRIDE OF KELANTAN"



KELANTAN - satu negeri yang digelar Serambi Mekah, dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan majoritinya Melayu beragama Islam. Negeri yang sangat unik dari pelbagai sudut samada budaya, adat resam dan politik. Rakyatnya sentiasa bersatu padu walaupun kadang-kadang berbeza fahaman. 

Sebut sahaja orang Kelantan, orang melihat dari pelbagai sudut. Ada yang melihat orang Kelantan baik, sopan santun, lembut tutur katanya, beradab bila berbicara, mempunyai jiwa Islam yang tinggi, namun ada juga yang melihat orang Kelantan gedebe, berpuak-puak, ganas, bermasalah dan lain-lain lagi.

Tapi, bagi saya yang dilahirkan di Kelantan, saya merasakan semua itu adalah sifat semula jadi setiap kaum, dijadikan oleh Allah dengan pelbagai ragam dan sifat untuk saling melengkapi antara satu sama lain, tidak kira dari mana mereka datang, agama apa, kaum apa. Saya merantau ke seluruh pelusuk negara, dari Perlis sampai ke Sabah, pernah sampai ke Indonesia dan Thailand, sifat dan perangai yang disebutkan di atas ada di setiap tempat. Jadi, tidak perlulah kita menilai seseorang atau puak-puak tertentu berdasarkan negeri kelahirannya. Nilailah mereka dengan sifat yang ada pada diri mereka.



Istimewanya Kelantan adalah kerana rakyatnya. Pergi ke mana sahaja di dalam dan luar negara, loghat Kelantan pasti kedengaran. Kenapa? Sebab kami bangga dengan negeri kami. Kami bersatu hati dan itulah sifat terpuji yang ada dalam diri kami. Walaupun pertama kali berjumpa, kami tidak kekok untuk bertegur sapa dan bergurau senda. Kami boleh bersatu walaupun di jalan raya menuju ke Kuala Lumpur, kami boleh bersorak bersama ketika menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan kami. Kami juga boleh bersatu untuk menentukan kepimpinan yang kami mahukan.

Saya masih berfikir dan merenung kenapa ini berlaku hanya di Kelantan. Mungkin kerana kami terdidik begitu, dilimpahkan dengan rahmat Islam yang begitu dekat dengan kami, dianugerahkan pemimpin yang sentiasa bersederhana, tidak kira pemimpin politik atau di pihak Istana. 



Kunci keistimewaan Kelantan adalah kesepaduan. Kami pantang disentuh, kami pantang diejek, kami pantang dicabar. Bergurau biar bertempat, menyindir biar beralas. Jika seorang yang menggunakan IC 03 terguris, maka keseluruhanlah kami akan terguris, bagai kata peribahasa "Cubit Paha Kanan, Paha Kiri Turut Terasa". Kami diajar untuk menghormati orang lain, tapi kami juga diajar untuk mempetahankan hak kami. 

Jangan takut berkawan dengan kami. Kami seperti insan lain, suka berkawan dan sedia menerima sesiapa sahaja kawan, Namun, kami tidak akan tinggalkan kawan Cik Siti Wan Kembang Kami. Kami suka bersama bukan kerana kami sombon atau tidak suka kepada negeri lain, tapi bahasa dan loghat kami membuatkan kami lebih mudah mesra. 

"ALLAH Kami Agungkan, Nabi Muhammad Kami Junjung, Sultan dan Pemimpin Kami Sanjung"

 "We're Not Worried, But We're Warriors"


"PRIDE OF KELANTAN FOREVER"